Abdul Rahman.

GEORGE TOWN – Profesor Datuk Ir Dr Abdul Rahman Mohamed diumumkan sebagai Naib Canselor kesembilan Universiti Sains Malaysia (USM) berkuat kuasa hari ini.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berkata, pelantikan itu dibuat berdasarkan kepada kepakaran, pengetahuan, pengalaman dan pencapaian beliau baik dari aspek kepimpinan mahupun penyelidikan sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa.

“Sebagai satu-satunya universiti awam di Malaysia yang telah dipilih untuk Accelerated Programme for Excellence (APEX), KPT yakin dengan Abdul Rahman,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Abdul Rahman sebelum ini pernah menyandang jawatan Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) USM dari 1 Mei 2016 hingga 30 April 2018.

Beliau kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USM dari 1 Mei 2018 sehingga kini.

Selain memiliki pengalaman pentadbiran yang sangat luas, Abdul Rahman juga ialah seorang penyelidik yang disegani terutamanya dalam bidang Sains Gunaan dan Teknologi  di dalam mahupun luar negara.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin mengalu-alukan pelantikan Abdul Rahman sebagai Naib Canselor USM yang baharu.

Beliau menyeru semua warga USM untuk memberi sokongan dan kerjasama yang terbaik kepada Naib Canselor yang baharu memandangkan usaha memastikan kecemerlangan USM adalah tanggungjawab bersama. – MalaysiaGazette