Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Sedili, Rasman Ithnain bebas satu pertuduhan kes seksual yang dipertuduhkan terhadap beliau pada jun 2022 lalu di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini.

MUAR – Mahkamah Majistret Muar hari ini telah melepas dan membebaskan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Rasman Ithnain bagi satu pertuduhan kes seksual  terhadap beliau pada Jun 2022 lalu.

Majistret Analia Kamaruddin menyatakan  setelah menilai kebolehpercayaan saksi-saksi pihak pendakwaan secara maksima sepanjang perbicaraan, mahkamah mendapati pihak pendakwaan telah gagal membuktikan satu kes prima facie terhadap Rasman.

Oleh yang demikian, tertuduh dilepaskan dan dibebaskan dan wang jaminan dikembalikan semula.

Sementara itu, Rasman Ithnain ketika ditemui melahirkan rasa syukur yang tidak terhingga terhadap keputusan ini apabila dapat menegakkan kebenaran bagi dirinya.

Beliau juga menganggap kes berkenaan sebagai suatu siri ujian terhadap beliau dan keluarga namun akan terus komited dalam berbakti kepada rakyat.

Rasman sebelum ini merupakan ADUN Sedili yang telah berkhidmat selama tiga penggal sejak 2008 di Dewan Undangan Negeri Sedili sehingga 2022.

Beliau bagaimanapun tidak bertanding di dalam Pilihan Raya Negeri Johor 2022 dan PRU14 lalu.

Untuk rekod, pihak pendakwaan telah memanggil seramai empat orang saksi sepanjang perbicaraan kes yang sama dan pendakwaan kes ini dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman bersama-sama Timbalan Pendakwa Raya Hayatul Wirdah Mohd Yunos.

Manakala Rasman diwakili oleh peguam beliau, Muhammad Mohd Nasir, Muhammad Izzad Syafiq Ismail dan Mohamad Alias Rasman.

Pada Januari tahun lalu, Malaysia Gazette pernah menyiatkan polis mengesahkan menerima laporan daripada seorang wanita yang mendakwa diganggu secara seksual oleh seorang ADUN Johor.

Dalam laporan polis, gadis berusia 25 tahun itu mendakwa kejadian pertama pada 2 Januari lalu, ahli politik berkenaan cuba memegang tangan kanan dan pahanya di dalam kenderaan semasa mereka dalam perjalanan dari Kota Tinggi dekat sini dalam misi membantu mangsa banjir. – MalaysiaGazette