polis rogol
Ivone Low Yi Wen

KUALA LUMPUR – Pegawai penyiasat lelaki tidak sepatutnya dibiarkan bersendirian bersama remaja perempuan bawah umur yang menjadi mangsa rogol bagi mengelakkan insiden seperti yang didakwa berlaku di sebuah balai polis di Alor Setar baru-baru ini daripada berulang.

Pengerusi Beliawanis MCA, Ivone Low Yi Wen menyifatkan kejadian yang melibatkan mangsa berumur 16 tahun itu sebagai mengejutkan dan menjijikkan.

Menurut beliau, siasatan dalam kes rogol membabitkan mangsa bawah umur sewajarnya dilakukan oleh pegawai polis wanita sahaja.

“Sekiranya tubuh mangsa perlu diperiksa, ia sepatutnya hanya dilakukan di sebuah fasiliti kesihatan oleh pegawai perubatan terlatih dengan kehadiran pembantu-pembantu perubatan dan pegawai penyiasat wanita.

“Tahap privasi dan keselamatan yang tinggi mesti dikekalkan bagi melindungi mangsa, dalam kes ini, seorang individu bawah umur, daripada mengalami serangan seksual sekali lagi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani mengesahkan, seorang pegawai polis berpangkat inspektor telah ditahan untuk siasatan lanjut berhubung kes tersebut selepas mangsa membuat laporan pada 31 Disember lalu.

Sebelum kejadian itu berlaku, mangsa membuat laporan di balai polis yang sama berhubung dakwaan dirogol oleh bapa tirinya.

Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi, Datuk Sri Azalina Othman Said dalam ciapan Twitter malam tadi berkata, terdapat prosedur khusus yang sepatutnya dipatuhi semasa mengambil keterangan daripada saksi bawah umur.

Pada masa yang sama, Ivone berkata, Beliawanis MCA memuji tindakan pantas Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan suspek sebaik sahaja selepas mangsa membuat laporan.

Beliau percaya tindakan itu akan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap PDRM kerana ia membuktikan sebarang salah laku dalam pasukan keselamatan tersebut tidak akan dilindungi atau dipertahankan.

Ivone menambah, Beliawanis MCA juga bersedia mengaturkan sesi kaunseling dengan pakar psikologi terlatih bagi membantu mangsa menangani trauma akibat insiden tersebut. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. tak akan Polis tiada SOP, rasanya pegawai itu yang mencalarkan imej Polis Malaysia, kalau benarlah perkara ini, pegawai polis itu perlu dihukum dengan maksimum.

Comments are closed.