Bandar Tokyo memiliki 37 juta penduduk. foto Twitter

TOKYO – Jepun membuat tawaran kepada keluarga sehingga £6,394 bagi setiap kanak-kanak untuk berpindah dari Tokyo sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengatasi tumpuan penduduk di ibu negaranya.

Langkah itu dibuat kerana Kerajaan Jepun percaya mewujudkan lebih banyak keseimbangan antara mereka yang tinggal di kawasan bandar dan luar bandar akan meningkatkan ekonomi.

Walaupun ekonomi Jepun telah merosot sedikit dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kawasan metropolitan Tokyo kekal dengan penduduk yang sangat padat.

Tokyo kini didiami kira-kira 37.1 juta penduduk – hampir satu pertiga daripada keseluruhan penduduk negara itu.

Peningkatan tiga kali ganda pada 300,000 yen (£1,918) sedia ada bagi setiap kanak-kanak untuk menempatkan semula keluarga, insentif baharu itu ditambah dengan maksimum 3 juta yen (£19,188) dalam bentuk sokongan kewangan asas yang sedia ada, menurut laporan media.

Kira-kira 1,300 majlis perbandaran telah mengambil bahagian dalam program sokongan penempatan semula pada tahun fiskal semasa.

Untuk layak menerima bayaran tersebut, keluarga berkenaan mesti tinggal di perbandaran yang mengambil bahagian selama sekurang-kurangnya lima tahun semasa bekerja.

Mereka akan diminta untuk memulangkan wang tersebut jika mereka keluar lebih awal dari masa yang ditetapkan

Langkah terbaharu itu dibuat ketika Jepun juga memikirkan masalah yang ditimbulkan oleh penduduk yang semakin tua.

Tahun lalu, mereka yang berusia lebih 75 tahun di negara ini menyumbang lebih daripada 15% daripada penduduk buat kali pertama, menurut data kerajaan. – Agensi