Asman Shah Abd Rahman

PASIR GUDANG – Pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu telus dan bertanggungjawab menjalankan tugas  kepada masyarakat bagi mengelak tanggapan negatif sekali gus membanteras penularan rasuah.

Datuk Bandar Pasir Gudang, Datuk Asman Shah Abd Rahman berkata, integriti setiap warga PBT perlu dipantau dan dinilai dengan tadbir urus yang baik bagi mengelakkan risiko rasuah.

Jika dibiarkan boleh menjadi barah selain menyebabkan seluruh komuniti terpalit dengan perkara itu.

“Sebab itu pentingnya ada pelan anti rasuah supaya sesebuah organisasi itu dapat menyatakan secara telus jika mereka berhadapan risiko rasuah yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya diMajlis Amanat Datuk Bandar dan penganjuran Majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bertempat di Dewan Serbaguna Taman Mawar, Pasir Gudang hari ini.

Pengurusan tertinggi yang mempunyai kuasa perlu bertindak tegas melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya mengetahui sebarang kesalahan melibatkan salah guna kuasa atau rasuah.

Anggota dan pegawai PBT sering berurusan dengan orang awam yang mana setiap tindakan mereka boleh menimbulkan persepsi kepada masyarakat.

“Bebas Rasuah ini sudah semestinya menuju ke arah negara bebas rasuah dan berintegriti malah meningkatkan budaya kerja berintegriti dan tadbir urus yang baik di Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) katanya.-MalaysiaGazette