SHAH ALAM – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedia mengikuti semua nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) untuk melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) susulan penularan varian baharu Covid-19.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya tidak akan berkompromi soal keselamatan dan kesihatan para pelajar ekoran lonjakan besar-besaran kes Covid-19 di China baru-baru ini.
“Setakat ini kita akan bersama dengan KKM dan menurut sahaja apa yang akan dinasihatkan oleh KKM. Kita bergantung kepada nasihat KKM dari semasa ke semasa,” katanya kepada pemberita di Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Kebun hari ini.
Terdahulu beliau yang diringi Ahli Dewan Negeri (ADUN) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni melakukan lawatan kerja ke dua sekolah termasuk Sekolah Kebangsaan Jalan Kebun, Seksyen 32 hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan China akan membuka semula sempadannya pada 8 Januari ini selepas hampir tiga tahun ditutup berikutan pandemik Covid-19.
Bagaimanapun timbul kebimbangan apabila berlaku lonjakan ketara kes Covid-19 di negara itu baru-baru ini. – MalaysiaGazette