SHAH ALAM – Isu beban tugas guru yang berlebihan dan semakin kritikal bakal menemui jalan penyelesaian apabila perkara itu akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, perkara itu sudah disampaikan kepada Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan dan satu keputusan bakal diumumkan kelak.
“Isu beban guru saya sudah umumkan sebelum ini dalam satu rancangan bahawa kita akan beri tanggungjawab itu kepada Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan.
“Nanti kita akan umumkan tidak lama lagi. Antara tumpuan mereka berkaitan dengan beban guru,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Terdahulu Fadhlina mengadakan tinjauan sesi persekolahan 2023 di Sekolah Kebangsaan Jalan Kebun dan Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Kebun hari ini.
“Isu bebanan guru bukan perkara baharu bahkan banyak dibicarakan dalam pentadbiran kerajaan sebelum ini. Beban tugas guru perlu diambil kira kerana mereka dipertanggungjawabkan dengan hampir 40 murid dalam satu kelas sedangkan bilangan itu terlalu ramai.
“Guru juga terpaksa melakukan tugas pengkeranian yang mengganggu fokus pengajaran di dalam kelas,” ujarnya.
Lebih malang, katanya, apabila guru ditekan untuk menghabiskan sukatan pembelajaran, di samping menjalankan pelbagai bentuk pentaksiran kepada pelajar.
Had masa antara kekangan utama guru dalam menjalankan aktiviti kreatif dan inovatif. – MalaysiaGazette