Antara gelagat penyokong Harimau Malaya yang hadir untuk menyokong pasukan Malaysia menentang Laos dalam aksi perlawanan kumpulan B Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 24 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Rapid KL mengumumkan operasi Stesen LRT Bukit Jalil telah dilanjutkan sehingga 12.30 pagi ini sempena perlawanan penting Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 antara Malaysia menentang Singapura yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) malam ini.

Pengendali perkhidmatan tren Transit Aliran Ringan (LRT) itu berkata, stesen-stesen lain akan ditutup seperti biasa namun penumpang boleh meneruskan perjalanan ke laluan lain dan keluar di stesen.

Malah kata Rapid KL, setiap penyokong Harimau Malaya juga diwajibkan memakai pelitup muka ketika berada dalam LRT.

Ini kerana tanpa pelitup muka, anda tidak dibenarkan masuk ke sistem pengangkutan awam tersebut.

“Lebih 50,000 penyokong dijangka akan membanjiri SNBJ kerana perlawanan itu cukup penting bagi menentukan kemaraan skuad negara ke peringkat separuh akhir di mana pengangkutan LRT menjadi pilihan utama penyokong untuk hadir ke stadium bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.

“Selain itu, para penyokong juga disaran menggunakan kad Touch ‘n Go untuk memudahkan urusan perjalanan pergi dan balik. Pastikan baki kad anda mencukupi untuk kelancaran perjalanan.

“Para penyokong boleh mendapatkan tiket perlawanan menerusi laman web TicketHotline. Sokongan padu daripada peminat akan membantu skuad Harimau Malaya mempamerkan aksi terbaik bagi memburu tiga mata penuh,” kata Rapid KL dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Malaysia wajib mencatat kemenangan kerana Singapura kini berada di kedudukan kedua dalam kumpulan B dengan tujuh mata apabila berjaya mengikat Vietnam tanpa jaringan kelmarin.

Jika berjaya menduduki dua tempat teratas dalam kumpulan, saingan separuh akhir akan berlangsung secara timbal balik pada 6 atau 7 Januari ini dan 9 atau 10 Januari ini manakala aksi final timbal balik dijadual pada 13 dan 16 Januari depan. – MalaysiaGazette