Rafizi Ramli.-Foto AMIRUL SHAUFIQ

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli mengajak penduduk di kawasan diwakilinya untuk bertemu dengannya dalam sesi townhall yang akan diadakan setiap tiga bulan sekali.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu berkata, townhall adalah satu forum terbuka yang memberi ruang kepada penduduk Pandan untuk membawa masalah dan mengutarakan isu berbangkit.

Katanya, townhall suku pertama setiap tahun juga penting untuk menjemput pemegang taruh di Pandan dari kumpulan penduduk, persatuan dan orang ramai mendapat maklumat mengenai jumlah peruntukan tahunan yang boleh dikemukakan kepada Pusat Khidmat Parlimen Pandan.

“Kami akan menilai cadangan-cadangan (baik permohonan bantuan, projek infrastruktur kecil dan lain-lain) yang dibawa oleh penduduk untuk diperuntukkan mengikut peraturan supaya penduduk berpeluang mendapat kebaikan dari duit cukai rakyat.

“Forum terbuka ini juga akan disiarkan secara digital melalui Facebook dan platform lain. Saya berharap amalan ini dapat meningkatkan ketelusan urusan Pusat Khidmat Parlimen Pandan dan membantu saya menjalankan amanah dengan lebih berkesan,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Dalam pada itu, Rafizi yang merupakan Timbalan Presiden PKR mengakui khidmat seorang wakil rakyat akan sentiasa ada kekurangan dan bagi mengatasinya, beliau berharap mendapat teguran dan pandangan daripada semua pihak terutama penduduk setempat.

Katanya, penduduk yang mempunyai perkara atau isu yang ingin disampaikan boleh mendaftarkannya di pautan https://forms.gle/7thSSSYfPbMh13Xw5.

Sesi Townhall Pandan bagi suku pertama tahun ini dijadualkan pada 6 Januari ini yang akan diadakan di Dewan Perbandaran Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Pandan Indah pukul 8 malam. – MalaysiaGazette