PETALING JAYA – Pelbagai barangan yang ditinggalkan dalam kereta mangsa tanah runtuh di Batang Kali telah dicuri.
Sinchew Daily melaporkan, alat-alat dalam kereta termasuk bateri yang ditinggalkan mangsa tanah runtuh telah ditanggalkan, malahan kad Touch N Go milik seorang mangsa didapati digunakan di sebuah lebuh raya pada 31 Disember.
Susulan daripadanya, David Ling iaitu suami kepada Liu Pei Si, salah seorang mangsa yang meninggal dunia, meminta pencuri memulangkan barangan peribadi isterinya.
David berkata, kereta isterinya telah dihantar ke balai polis, tetapi barang-barang isterinya termasuk kad Touch N Go dan dompet telah hilang.
“Anak kecil saya ingin menyimpan telefon ibunya sebagai kenangan kerana di dalam terdapat banyak gambar.
“Saya meminta pencuri untuk memulangkan dompet dan barangan peribadi isteri saya supaya anak saya boleh menyimpannya sebagai satu kenangan,” katanya.
Menurutnya, sistem audio, bateri dan banyak kelengkapan dalam kereta isterinya juga telah hilang.
David juga telah pergi ke bank untuk membatalkan kad bank isterinya supaya ia tidak disalah guna. – MalaysiaGazette