Nur Mikayla (kiri), Zi Tong (kanan atas) dan Darsinidevi memerlukan bantuan bagi menjalani pembedahan jantung.

GEORGE TOWN – Tiga kanak-kanak perempuan memerlukan sumbangan RM225,000 bagi menampung kos pembedahan jantung yang dihadapi mereka.

Ketiga-tiga mereka iaitu Seng Zi Tong, tiga tahun berasal dari Ipoh, Perak; Nur Mikayla Muhammad Naidi, 1, Alor Setar, Kedah dan P. Darsinidevi pula dari Bedong dilaporkan mengalami masalah jantung sejak lahir.

Pengerusi One Hope Charity, Datuk Chua Sui Hau berkata, tiga kanak-kanak itu memerlukan pembedahan segera berikutan keadaan kesihatan mereka semakin merosot.

Mengulas mengenai keadaan Zi Tong, Sui Hau berkata, doktor tidak melakukan pembedahan terhadap kanak-kanak itu meskipun disahkan menghidapi jantung berlubang sebaik dilahirkan susulan kebiasaan lubang berkenaan akan tertutup apabila beransur hari.

“Ketika berusia 6 bulan, dua lubang kecil di jantungnya didapati beransur-ansur pulih tetapi ketika Zi Tong berusia dua tahun, doktor mengesahkan lubang terbabit tidak pulih sepenuhnya dan kemungkinan penyembuhan automatik menjadi tipis.

“Pemeriksaan lanjut doktor mendapati masih wujud lubang kecil di jantung Zi Tong berdekatan injap dan pembedahan segera perlu dilakukan bagi mengelak lubang itu membesar,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menceritakan masalah yang dihadapi Nur Mikayla pula, Sui Hai berkata, kanak-kanak berasal dari Alor Setar itu telah menjalani dua pembedahan membaiki jantung.

Bagaimanapun katanya, selepas dijangkiti Covid-19, kandungan oksigen dalam badan kanak-kanak itu menurun dengan mendadak hingga memerlukan dia menjalani pembedahan ketiga untuk menyelamatkan nyawanya

“Pada awal Disember lalu keadaan kesihatan Nur Mikayla semakin merosot, selain dilaporkan berlaku jangkitan kuman.

“Nur Mikayla kini bergantung pada bantuan pernafasan malah selepas pemeriksaan doktor mendapati stent jantung yang dipasang menyekat saluran darah sekali gus menyebabkan darah tidak dapat membekalkan oksigen dan keadaan agak kritikal,” jelasnya.

Sementara itu, beliau berkata, Darsinidevi dari Bedong pula disahkan mengalami pelbagai kecacatan jantung yang sangat berisiko dan boleh membawa maut.

“Selepas dilahirkan bayi itu dihantar ke unit rawatan rapi akibat sesak nafas dan sehingga kini dia masih bergantung dengan mesin bantuan pernafasan.

“Darsinidevi didapati menghidap penyakit jantung kongenital yang teruk doktor memberitahu kanak-kanak itu memerlukan pembedahan. Jika tidak, Darsinidevi tidak akan dapat membesar,” katanya.

Tanbah Sui Hau, ibu bapa ketiga-tiga kanak-kanak itu tidak mampu untuk menampung kos pembedahan yang diperlukan dan memohon pihaknya untuk membantu mendapatkan sumbangan daripada orang ramai.

Sehubungan itu, sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun bank One Hope Charity & Welfare 3193433435 (Public Bank) atau menerusi laman sesawang www.onehopecharity.org. – MalaysiaGazette