KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengajak para ilmuan yang bernaung bawah Majlis Profesor Negara (MPN), bersama membantu dalam isu kos sara hidup demi kesejahteraan rakyat.
Timbalan Perdana Menteri itu berharap, sesi perkongsian dan meraikan pendapat dari mereka akan terus diadakan.
“Ini kerana pertemuan seumpama ini adalah satu ‘koridor baharu’ dalam usaha mendapatkan input terbaharu yang diperlukan dalam memastikan dasar pentadbiran negara sentiasa memenuhi aspirasi rakyat,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.
Beliau sebelum itu menerima kunjungan delegasi dari MPN yang diketuai Pengerusinya, Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin.
Dalam pertemuan lebih dua jam itu, beliau dan delegasi MPN berbincang serta melihat sisi kerjasama yang boleh dijalinkan.
Kata Ahmad Zahid, sudah pasti dengan kepakaran ilmuan dan kluster yang wujud di bawah MPN, banyak data, kajian, penyelidikan dan idea yang mampu diangkat untuk pembangunan negara bangsa.
Jelas beliau, dalam rentetan perbincangan itu, isu utama yang diangkat menjurus kepada agenda pembangunan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang melibatkan sektor pendidikan khususnya Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Saya menyambut baik cadangan yang diberikan dan akan memastikan agensi di bawah KKDW akan terus diupayakan khususnya dalam sektor TVET,” katanya. – MalaysiaGazette