KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Ruslan Muharram berharap kerajaan dapat mengambil langkah tegas pencerobohan tentera China di perairan Malaysia di Laut China Selatan.
Katanya, kerajaan perlu menempatkan aset pertahanan terbaik di Sabah dan Sarawak yang mana kedua-dua wilayah itu merupakan benteng hadapan jika berlaku konflik.
Tambah beliau, insiden terbaharu membabitkan pesawat tempur milik Tentera Laut China, J-11 memintas pesawat Amerika Syarikat (AS) di ruang udara antarabangsa di laut China Selatan, menimbulkan kegusarannya.
“Imej ini dirakam pada 21 Disember 2022, baru-baru ini namun tiada sebarang reaksi dari Wisma Putra setelah 72 jam berlalu sejak laporan rasmi media antarabangsa Agensi Reuters dikeluarkan mengenai insiden itu.
“Kita ingin tahu sejauh mana situasi ini mengancam kedaulatan negara khususnya kedudukan Sabah dan Sarawak serta apakah tindakan susulan Wisma Putra untuk tangani isu yang sudah berlaku sekian lama? Kita harap sangat dengan adanya kerajaan baharu, adalah sesuatu dilakukan,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Katanya Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) itu, Kementerian Luar dan Kementerian Pertahanan sepatutnya memberi penjelasan dan kenyataan mengenai perkara itu. – MalaysiaGazette