KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengesan sebaran mesej yang ditular semula di platform media sosial yang memberi amaran kepada rakyat Malaysia agar lebih berhati-hati dengan sindiket ‘Push-pocket’.

Setiausahanya, Deputi Komisioner Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, mesej itu mendakwa terdapat kegiatan jenayah ‘push-pocket’ dan peras ugut di kawasan tumpuan ramai seperti lapangan terbang dan stesen transit aliran ringan.

“Penjenayah didakwa akan menyelinapkan telefon bimbit atau dompet ke dalam poket atau bagasi mangsa, sebelum mendekati mangsa dan menuduhnya sebagai pencuri.

“Mangsa seterusnya akan didesak membayar sejumlah wang dengan alasan untuk menyelesaikan kes. Sekiranya tidak bersetuju, mangsa diugut bahawa kejadian ‘curi’ akan dilaporkan kepada pihak polis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, semakan lanjut Bukit Aman terhadap kes itu mendapati mesej tersebut telah tular sejak tahun 2016 dan kembali diulang siar di beberapa platform media sosial baru-baru ini.

“Semakan kami juga mengesahkan tiada sebarang laporan polis diterima mengenai modus operandi penipuan sedemikian.

“Sehubungan itu, orang ramai diminta agar tidak mudah percaya dengan sebaran mesej yang tidak berasas dan tidak ditentukan kesahihannya.

“Tindakan berkongsi atau menyebar berita-berita sedemikian boleh menimbulkan kegusaran dan kebimbangan kepada masyarakat,” ujarnya. – MalaysiaGazette