Baljit Singh

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa membenarkan pengeluaran dari akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan maksima RM10,000 atau 50 peratus atau yang mana lagi rendah kepada pencarum yang mempunyai wang simpanan kurang daripada jumlah tersebut.

Naib Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Baljit Singh berkata, menerusi pengeluaran KWSP itu, ia serba sedikit dapat membantu rakyat dalam keadaan ekonomi yang membebankan dan tidak stabil pada masa ini.

“Inisiatif ini sekaligus dapat meringankan beban mereka dengan kenaikkan harga barang keperluan seperti telur, minyak, ayam dan lain-lain.

“Realitinya masih ramai rakyat berharap pengeluaran KWSP dibenarkan lagi terutamanya kepada peminjam bank yang risau OPR akan naik tahun ini.” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Baljit mencadangkan agar Kerajaan Perpaduan berunding dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pengeluaran tersebut.

“Saya cadangkan kerajaan boleh membuat pengeluaran KWSP secara bersyarat. Contohnya, pencarum hanya boleh keluarkan RM10,000 maksima dan bagi pencarum yang kurang daripada jumlah tersebut hanya dibenarkan 50 peratus daripada jumlah baki sedia ada,” ujarnya.

Menurut beliau, jangan mengaitkan perkara itu dengan politik kerana pilihan raya umum sudah selesai dan sekarang adalah masa membantu rakyat.

Katanya lagi, Gerakan yakin dan percaya inisiatif itu membantu rakyat untuk menjadi wang simpanan juga ekoran daripada kemungkinan berlaku gelombang kedua varian baharu Covid-19. – MalaysiaGazette