PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Kerajaan Perpaduan tidak akan melakukan diskriminasi terhadap mana-mana negara, termasuk China, dengan mengenakan sekatan perjalanan ke atas warganya
Sebelum ini, media melaporkan China akan membuka semula sempadannya pada 8 Januari ini selepas hampir tiga tahun ditutup berikutan pandemik Covid-19.
Sebaliknya, Perdana Menteri berkata, Malaysia akan memperketatkan kemasukan pelancong asing.
“Kabinet meluluskan tanpa ragu mengenai masalah kesihatan rakyat, itu hal yang utama.
“Soal pelancong tak boleh atasi kepentingan merawat rakyat,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di Perdana Putra, hari ini.
Hadir sama dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.
Dalam pada itu, Anwar berkata, sekatan secara ketat akan dimulakan di pusat imigresen bagi kemasukan warga asing dan tindakan tersebut tidak menjurus kepada negara-negara tertentu sahaja.
“Semua negara terutama negara yang jumlahnya jangkitan lebih ramai seperti Amerika Syarikat dan China.
“Perlu dipantau secara terus tetapi tidak melonggarkan syarat cuma fakta berbeza,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, negara kini menumpukan kepada tindakan menyelamatkan rakyatnya da ini melibatkan ujian suhu dan mengenakan ujian saringan Covid-19 sekiranya bergelaja.
“Sesiapa sahaja juga yang ingin masuk ke negara ini harus dipantau dan dikenakan syarat yang sama dari semua negara.
“(Mesti) Ada ujian saringan dan pemantauan suhu dan sebagainya. Kawalan diperketatkan tetapi tidak memilih negara,” katanya. – MalaysiaGazette