Foto Facebook Buriram United.

KUALA LUMPUR – Pemain pertahanan yang menjadi antara nadi membawa skuad negara mara ke Piala Asia 2023, Dion Cools sah menjadi milik kelab gergasi Thailand, Buriram United.

Perkembangan terkini mengenai kehadiran pemain kacukan Malaysia-Belgium itu disahkan laman sosial rasmi kelab itu.

Buriram kini mendahului saingan Thai League 1 2002/23 tersebut.

Pengkhabaran mengenai penghijrahan Cools daripada kancah bola sepak Eropah ke Asia itu bukanlah perkara yang mengejutkan kerana sebelum ini, angin bertiup kencang mengatakan dia akan beraksi bersama Buriram United.

Sebelum ini, Cools memilih untuk menyertai juara terbanyak Thai League 1 sebanyak lapan kali itu selepas kontraknya bersama kelab Republik Czech, FK Jablonec berakhir.

Difahamkan, dia mengisi kuota Asia Tenggara (ASEAN) selepas pemain pertahanan dari Filipina, Diego Florez Bardanca meninggalkan pasukan untuk menyertai seteru utama mereka musim ini, Chonburi FC.

Cools memulakan karier profesionalnya bersama kelab Liga Belgium, OH Leuven dan selepas semusim, dia berjaya menarik minat kelab gergasi di sana, Club Brugge.

Selepas lima musim, dia yang lahir di Kuching, Sarawak diikat FC Midtjylland (Denmark) di mana beliau beraksi di sana selama dua musim setengah dan dipinjamkan kembali ke Belgium untuk bersama Zulte Waregem.

Berakhir kontrak dengan FK Jablonec, Dion Cools kelihatannya mahu merasai saingan bola sepak di ASEAN dan mungkin kerana faktor berhampiran dengan Malaysia menjadi antara faktor perkiraan beliau dalam memilih Buriram United. – MalaysiaGazette