Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar bersama Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Senator K.Saraswathy (kanan) pada sidang media mengenai Penubuhan Jawatankuasa Masyarakat India di Kementerian Sumber Manusia, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 04 JANUARI 2023.

PUTRAJAYA – Kerajaan bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa khusus membabitkan penglibatan semua ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan (ADUN) berketurunan India bagi mencari penyelesaian isu dan masalah kaum berkenaan.

Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, ia dikenali sebagai Jawatankuasa Tindakan Hal Ehwal Masyarakat India.

Menurutnya, masalah kaum itu adalah isu nasional dan ia wajar dipikul oleh semua menteri yang memiliki portfolio tertentu.

Malah menurut beliau, isu yang membabitkan nasib dan kebajikan kaum India bukan hanya melibatkan seorang menteri yang perlu dipertanggungawab mengikut kaum masing-masing.

“Masalah kaum India bukan hanya terletak di bahu seorang menteri India sahaja sebaliknya ia perlu ditangani semua jemaah menteri yang dilantik mengikut portfolio masing.

“Jika kaedah ini dapat direalisasikan, tiada mana-mana kaum yang terpinggir malah masalah kaum lain juga dapat diselesaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas selepas mengumumkan pembentukan jawatankuasa khusus di kementerian di sini hari ini.

Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar bercakap pada sidang media mengenai Penubuhan Jawatankuasa Masyarakat India di Kementerian Sumber Manusia, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 04 JANUARI 2023.

Turut hadir, Timbalan Menteri Usahawan dan Koperasi, Saraswathy Kandasami.

Ahli Parlimen Batu Gajah itu menjadi satu-satunya wakil rakyat daripada kaum India dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Sivakumar mengakui kemampuannya pernah dipersoalkan untuk membantu kaum India memandangkan hanya beliau menjadi satu-satunya wakil rakyat daripada kaum itu dalam kerajaan.

Namun beliau berkata, Jawatankuasa Tindakan Hal Ehwal Masyarakat India boleh membantu mengetengahkan aspirasi komuniti dan mengutarakan masalah kaum itu.

“Setakat ini, jawatankuasa ini akan dianggotai sembilan ahli Parlimen berturunan India dalam kerajaan dan sentiasa terbuka menerima pandangan terbuka ahli Parlimen daripada pembangkang.

“Antara isu masalah India yang akan diselesaikan membabitkan pendidikan, tiada kad pengenalan, kebajikan, perumahan, kemiskinan dan pekerjaaan,” katanya lagi.

Sementara itu, Saraswathy pula berkata, jawatankuasa khusus itu akan mengutip semua maklumat dan akan dimajukan dalam mencari mekanisme terbaik mengatasi masalah yang timbul. – MalaysiaGazette