Agensi Penguatkasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor menahan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia termasuk tekong yang cuba masuk secara haram kira-kira jam 4.50 petang semalam.

PELABUHAN KLANG – Agensi Penguatkasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor menahan dua pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia, termasuk tekong, yang cuba masuk negara ini secara haram kira-kira pada jam 4.50 petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Siva Kumar a/l Vengadasalam berkata, bot kayu itu ditahan ketika sedang bersauh di kedudukan 5.3 batu nautika barat daya Kuala Selangor berada dalam keadaan mencurigakan.

“Pemeriksaan awal mendapati bot itu dikendalikan oleh seorang tekong dan dua kru warga Indonesia yang berumur antara 35 hingga 38 tahun tanpa dokumen perjalanan yang sah.

“Hasil soal siasat ke atas tekong bot kayu itu mendapati mereka ingin menuju ke Pulau Angsa dari Tanjung Balai, Indonesia tetapi bersauh kerana mendakwa bot yang dinaiki mereka mengalami kerosakan,” katanya dalam kenyataan.

Bot yang digunakan oleh pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia termasuk tekong yang cuba masuk secara haram kira-kira jam 4.50 petang semalam di perairan Selangor.

Jelas Siva Kumar, penggeledahan lanjut mendapati terdapat dua orang penumpang iaitu seorang lelaki berusia 40 tahun dan seorang wanita, 30 tahun tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Tambah beliau, menurut salah seorang PATI, bayaran yang dikenakan untuk satu perjalanan menyeludup masuk dengan cara ini ialah kira-kira RM2,500 seorang.

“Bot dan kesemua PATI yang ditahan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal menunjukkan pasport atau dokumen perjalanan serta permit masuk yang sah,” katanya.  – MalaysiaGazette