Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang pekerja syarikat kawalan keselamatan diberkas polis kerana disyaki mencuri wang daripada sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di Universiti Selangor (Unisel) Kampus Bestari Jaya, Kuala Selangor pada Ahad lalu.

Dalam serbuan yang dilakukan di kediaman suspek di Kundang, Selangor pada jam 1.45 pagi, polis merampas wang tunai berjumlah RM5,000 daripada lelaki tersebut.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, kejadian terbabit disedari rakan suspek semasa membuat pembaikan kerosakan di mesin ATM itu.

“Semasa hendak membuat kerja pembaikan pada mesin ATM itu, rakan suspek mendapati satu seal casset bahagian bawah dan casset penolakan wang dalam keadaan terbuka dan tiada wang di dalamnya.

“Curiga dengan keadaan itu, dia kemudian membuat laporan polis pada 11.40 malam untuk tindakan lanjut polis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Ramli, siasatan lanjut sedang dijalankan ke atas suspek dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.- MalaysiaGazette