KUALA LUMPUR – Kebenaran untuk Sabah dan Sarawak menentukan projek di bawah RM50 juta membantu kedua-dua negeri tersebut membuat pembangunan berkaitan rakyat tanpa pelbagai birokrasi.
Justeru itu, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor menyambut baik keputusan Kerajaan Perpaduan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
“Ini pastinya akan membantu serta memudahkan lagi kelulusan dan pelaksanaan projek yang sebelum ini kerap terhalang oleh kerenah birokrasi.
“Atas semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), ini sudah pasti satu berita baik,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Senada dengan kenyataan Perdana Menteri hari ini, Hajiji memaklumkan beliau bersama Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg akan bertemu dengan Perdana Menteri untuk memperincikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Dalam masa yang sama, Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menyifatkan pengumuman kerajaan hari ini membuktikan komitmen terhadap MA63.
Sehubungan itu, beliau yang juga bekas Ketua Menteri Sabah mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Perpaduan kerana dilihat prihatin terhadap dua negeri berkenaan.
“Ini menunjukkan komitmen kerajaan persekutuan sekarang untuk memartabatkan MA63.
“Warisan mengucapkan terima kasih atas keprihatinan perdana menteri terhadap impian penduduk Sabah yang sudah lama ingin melihat MA63 dilaksanakan,” tambahnya.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Kuasa lulus projek bawah RM50 juta khabar gembira buat rakyat Sabah