Setiausaha Penaja Parti Hijau Malaysia, Abdul Razak Ismail (dari kiri) menunjukkan pelan kawasan kuari dan surat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPRM) ketika membuat laporan SPRM mengenai kuari Bukit Lengong di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 04 JANUARI 2023.

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa supaya menyiasat dakwaan penyalahgunaan kuasa berhubung pemberian lot-lot hutan simpan seluas 800 hektar di Bukit Lagong kepada 27 buah syarikat swasta.

Setiausaha (Penaja) Parti Hijau Malaysia, Abdul Razak Ismail berkata, pihaknya melihat berlakunya pelanggaran di bawah pentadbiran kerajaan negeri Selangor pada masa ini apabila meluluskan pemberian plot-plot berkenaan kepada syarikat-syarikat terbabit yang mana tujuh daripadanya sedang beroperasi dan dijangka tamat pada tahun ini.

Beliau mendakwa, selepas tamat pengoperasian syarikat-syarikat terbabit akan berpindah ke kawasan lain dan ia merupakan satu pelanggaran dan ketidakpatuhan terhadap dasar moratorium 25 tahun terhadap pembalakan dan pembersihan hutan yang akan menjejaskan ekosistem persekitaran dan pemusnahan flora serta fauna hutan simpan berkenaan.

“Kerajaan Selangor telahpun meluluskan satu moratorium tiada pembalakan selama lima tahun dan diluluskan di zaman (Allahyarham) Tan Sri Khalid Ibrahim pada tahun 2010.

“Kita lihat Jabatan Perhutanan Selangor ini menggunakan pintu belakang kerana moratorium itu melarang pembalakan selama 25 tahun dan telah menggunakan peruntukan lesen kecil di bawah Seksyen 28 Akta Perhutanan Negeri Selangor yang diberikan kepada 27 buah kuari berkenaan selain lapan lagi yang sedang menunggu,” katanya yang juga Setiausaha Otai Reformis.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghantar memorandum di ibu pejabat agensi penguatkuasaan undang-undang tersebut, di sini, hari ini.

Memorandum berkenaan dihantar susulan laporan awal yang pernah dibuat pada 7 Oktober lepas di pejabat SPRM Shah Alam.

Dalam pada itu Abdul Razak mendakwa, pelanggaran tersebut jelas kerana lesen tersebut juga tidak diberikan mengikut tender.

Katanya, apa yang dipertikaikan adalah bagaimana kuari yang boleh mendapatkan hasil lebih jutaan ringgit boleh diberi kepada syarikat yang hanya memberi pulangan dengan harga murah.

“Jadi, kita pertikaikan kriteria tak buka tender dan penilaian jabatan perhutanan itu yang tidak telus sebenarnya. Siapakan syarikat dua ringgit itu yang sebenarnya,” ujarnya. – MalaysiaGazette