Chan Ping Khoon (baju putih) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen George Town hari ini atas pertuduhan cuba bunuh seorang wanita.

GEORGE TOWN – Seorang tukang paip dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Jenayah di sini, hari ini atas pertuduhan cubaan membunuh  seorang wanita pada 24 Disember lalu.

Tertuduh, Chan Ping Khoon, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mazdi Abdul Hamid.

Mengikut pendakwaan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut sehingga menyebabkan kecederaan membabitkan seorang wanita berusia 38 tahun kira-kira jam 7.22 malam pada 24 Disember 2022.

Kesalahan tersebut dilakukan di sebuah premis yang membekalkan produk penapis air selain menyediakan perkhidmatan pemasangan pam air tekanan tinggi di Jelutong di sini.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Jika perbuatan itu menyebabkan kecederaan kepada seseorang, tertuduh turut boleh dihukum di bawah kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Yazid Mustaqim Roslan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Ping Khoon meminta agar diberikan jaminan kerana mempunyai tanggungan seorang isteri dan anak selain perlu membantu menguruskan ibu bapa yang sudah uzur.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan atas faktor tahap keseriusan jenayah.

Hakim Mazdi memaklumkan kes membabitkan Seksyen 307 Kanun Keseksaan tidak dibenarkan ikat jamin sebelum mengarahkan tertuduh melantik peguam.

Mahkamah menetapkan 7 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen termasuk laporan perubatan mangsa. – MalaysiaGazette