Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin (tengah) bersama Timbalannya, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah (dua kiri) ke sesi taklimat pada Lawatan Kerja Menteri Dalam Negeri Ke Agensi Antidadah Kebangsaan di Ibu Pejabat Agensi Antidadah Kebangsaan, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 05 JANUARI 2022.

KAJANG – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggesa Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) meletakkan sasaran untuk mencapai 75 peratus bagi setiap 100 penagih dadah untuk tidak kembali terjebak dengan aktiviti tersebut pada tahun ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sasaran itu adalah realistik berdasarkan pencapaian tahun lalu iaitu sebanyak 70 peratus.

Menurutnya, tanda aras antarabangsa adalah antara 35 hingga 50 peratus kekal meninggalkan amalan penagihan dadah selepas tamat mengikuti program pemulihan.

“Statistik 2022 menunjukkan bagi setiap 100 penagih yang kekal meninggalkan amalan penagihan itu adalah 70 peratus.

“Tahun ini saya menggesa supaya AADK meletakkan sasaran lebih tinggi iaitu 75 peratus. Saya letakkan sasaran yang lebih realistik tahun ini berdasarkan kepada keupayaan dan keberkesanan program pemulihan oleh AADK,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat AADK, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Pengarah AADK Sutekno Ahmad Belon.

Menurut Saifuddin lagi, AADK mempunyai kekuatan ‘program outreach’ namun, usaha untuk mendapatkan sasaran itu perlu menyeluruh membabitkan masyarakat seluruh negara sebagaimana penduduk bersatu-padu menangani pendemik Covid-19.

“Program outreach ini termasuklah program pendidikan dan kesedaran yang melibatkan komuniti. Ia menerusi struktur AADK bukan sahaja di peringkat pusat malah di peringkat negeri dan daerah,” tambahnya.

Beliau berkata, elemen kawalan bekalan dadah pula adalah penumpuan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sementara itu, katanya, bagi tempoh antara Januari hingga November 2022, pihak AADK sudah merawat pulih seramai 44,754 penagih menerusi Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti (RPDK) di 109 pejabat AADK daerah di seluruh negara. – MalaysiaGazette