Pakatan Harapan PH flag Sarawak state election polls
Pakatan Harapan

KOTA KINABAL – Kesemua tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) Sabah hari ini menyatakan pendirian untuk tidak sama sekali menyokong pembentukan kerajaan melalui ‘pintu belakang’.

ADUN berkenaan berpendirian sebarang usaha untuk menubuhkan kerajaan baharu seharusnya berdasarkan agenda yang konstruktif dan polisi yang baik demi kepentingan rakyat Sabah.

“Jika tidak rakyat akan marah serta melihat ahli politik tamak kuasa dan mahu merampas kuasa semata-mata.

“Kami juga menyatakan pendirian dan keputusan secara en-bloc untuk memastikan kestabilan politik Sabah dibina agar tadbir urus pembangunan dan perkhidmatan kepada rakyat dapat dilaksanakan dengan lancar,” menurut mereka dalam kenyataan malam ini.

ADUN tersebut ialah Pengerusi PH Sabah, Datuk Christina Liew (Api-Api), Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick (Kadamaian), Datuk Fung Ming Poon (Tanjung Papat), Phoong Jin Zhe (Luyang), Jannie Lasimbang (Kepayan), Tan Lee Fatt (Likas) dan Peto Galim (Inanam).

Sehubungan itu, ADUN berkenaan memaklumkan tidak memberikan akuan bersumpah menyokong mana-mana pihak.

Menurut ADUN tersebut, mana-mana pihak yang mendakwa telah mendapat sokongan daripada mereka adalah tidak benar.

“Ini melainkan kenyataan terakhir kami selepas sidang Dewan Undangan Negeri Sabah yang terakhir pada November 2022.” katanya.

Pada 25 Nov tahun lalu, tujuh ADUN PH itu menyatakan sokongan serta komitmen untuk bekerjasama dengan Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri sehingga penggal DUN berakhir pada 2025.

Semalam, Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Masidi Manjun. berkata parti itu bersedia membuktikan keabsahan sokongan ADUN Sabah kepada Hajiji sebagai Ketua Menteri selepas  difahamkan ada pihak tertentu mendakwa memperoleh sokongan lebih separuh daripada ADUN Sabah untuk menubuhkan sebuah kerajaan negeri yang baharu.

DUN Sabah mempunyai 79 ADUN iaitu 73 ADUN yang dipilih dan enam ADUN dilantik.

Kerajaan Sabah pada masa ini mempunyai sokongan 59 ADUN iaitu 29 daripada GRS, Barisan Nasional (17), PH (tujuh), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (3) dan masing-masing seorang ADUN daripada Parti Bangsa Malaysia, Parti Harapan Rakyat Sabah dan Bebas.

— BERNAMA