Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin (tengah) melawat ke ruang pameran selepas Lawatan Kerja Menteri Dalam Negeri Ke Agensi Antidadah Kebangsaan di Ibu Pejabat Agensi Antidadah Kebangsaan, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 05 JANUARI 2022.

KAJANG – Anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang dikerahkan bagi membantu Pasukan Gerakan Am (PGA) untuk mengawal sempadan negara akan dibekalkan dengan kelengkapan senjata api.

Bagaimanapun, kelengkapan itu mengikut keperluan dalam operasi-operasi tertentu, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

“Memandangkan sekarang ada stor senjata, hanya bila ada operasi dibuat dan memerlukan penggunaan senjata, mereka (Rela) boleh akses kepada senjata,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja di Ibu Pejabat Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), di sini, hari ini.

Hadir sama pada sesi lawatan itu, Tuimbalannya, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah.

Saifuddin berkata, ketika ini langkah untuk meletakkan anggota Rela itu masih belum dilakukan lagi.

Pada pertengahan bulan lepas, Saifuddin berkata, seramai 500 anggota jabatan itu akan digerakkan untuk membantu PGA mengawal keselamatan di lima lokasi sempadan negara daripada diceroboh bermula tahun ini.

Ia sebagai sambungan kepada projek rintis sebelum ini yang mana 90 anggota RELA terbabit dalam penugasan itu sejak November 2020.

Beliau berkata, anggota terbabit akan ditempatkan di lima sempadan negeri seperti di Sabah, Sarawak, Kelantan, Selangor dan Perlis bagi memenuhi cabaran penugasan berkenaan.

Sementara itu, menjawab pertanyaan berkaitan susulan terdapat pihak yang tidak bersetuju dengan langkah Kementerian Dalam Negeri mengerahkan Rela untuk bekerjasama dengan PGA, Saifuudin berkata, apa yang dilakukan sememangnya mempunyai kelebihan dan kekurangannya.

Katanya, beliau tidak mahu terlibat dengan debat seperti itu kerana mahu fokus kepada usaha yang hendak dilakukan

“Dia ada pro and kontranya…saya tidak akan masuk dalam debat yang macam itulah, buat masa sekarang aturannya begitu,” tambah beliau. – MalaysiaGazette