Gambar daripada rakaman yang tular menunjukkan pengguna tersekat akibat kesesakan di Jalan Travers, Bangsar kerja-susulan kerja penurapan jalan yang dilakukan ketika waktu puncak oleh kontraktor DBKL.

KUALA LUMPUR – Kesesakan lalu lintas di Jalan Travers, Bangsar hari ini berpunca daripada kerja-kerja penurapan jalan yang dilakukan ketika waktu puncak oleh kontraktor dilantik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)

Sehubungan itu, pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan memohon maaf kepada pengguna orang ramai di atas kesulitan yang berlaku.

Katanya, kontraktor terbabit akan dipanggil untuk ‘disekolahkan’ kerana tidak mengikut waktu kerja yang ditetapkan pihak berkuasa.

Malah, disebabkan sikap tidak mahu mengikuti undang-undang, sekali gus menimbulkan kesulitan kepada pengguna jalan raya.

“Tahu la mahu cepat.. tapi waktu bekerja langsung tidak fikir orang lain walaupun sudah dimaklumkan waktu kerja yang sepatutnya,

”Jadi jangan ingat anda sahaja yang marah, orang DBKL pun marah juga, pasti kontraktor yang terlibat kena panggil dengan pegawai DBKL yang berkenaan, kena ‘sekolahkan’ sikit,” kata DBKL menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Terdahulu, tular video berdurasi 30 saat memaparkan situasi kesesakan di sebatang jalan raya berpunca daripada kerja penurapan jalan.

Perakam video tersebut telah mempersoalkan waktu kerja penurapan itu yang dilakukan ketika waktu sibuk sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk. – MalaysiaGazette