KUALA LUMPUR – Salah seorang warga Myanmar dalam kalangan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan di Terminal Bas Bersepadu Selatan (TBS) Kuala Lumpur pada 3 Januari lalu disyaki dalang sindiket penyeludupan manusia.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Mohd Daud berkata, semakan mendapati kesemua 11 PATI yang ditahan tidak memiliki cap masuk Malaysia empat lagi tidak memiliki dokumen perjalanan sah.
Tambah beliau, pemeriksaan ke atas warga India pula mendapati mereka mempunyai rekod senarai hitam dan dihalang daripada memasuki Malaysia berdasarkan kesalahan lampau dalam negara ini.
“Modus operandi sindiket adalah dengan menjadikan terminal pengangkutan awam sebagai pusat transit bagi penyeludupan PATI yang mana dalang sindiket ini menunggu bas tiba di terminal dan seterusnya bertindak menguruskan pergerakan PATI yang baru tiba dari negara jiran ke lokasi yang ditetapkan.
“Berdasarkan siasatan awal, mereka mengaku tidak melapor untuk pemeriksaan imigresen semasa memasuki Malaysia dan tujuan menceroboh negara adalah untuk bekerja di sekitar Kuala Lumpur yang telah diatur awal oleh pihak sindiket itu dan mendakwa mereka telah membayar RM7000 kepada ejen di negara asal untuk urusan pakej kemasukan ke negara ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Operasi Khas Jabatan Imigresen Malaysia pada awal pagi 3 Januari lalu itu dilakukan setelah menerima maklumat awam bahawa terdapat sekumpulan PATI akan dihantar ke Kuala Lumpur dengan menaiki bas awam dan mereka dipercayai baru masuk ke negara ini secara tidak sah melalui laluan haram di sempadan Kelantan.
Menurut Khairul Dzaimee, kesemua PATI itu kini ditahan di Depot Imigresen Putrajaya untuk membantu siasatan lanjut kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM). – MalaysiaGazette