Operasi perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya mengalami kelewatan disebabkan gangguan suis petang ini.

KUALA LUMPUR – Operasi perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya mengalami kelewatan disebabkan gangguan suis.

Menurut kenyataan Rapid Rail Sdn. Bhd., gangguan itu menyebabkan semua tren bergerak perlahan dan berhenti lebih lama di platform.

Katanya, kejadian pertama berlaku pada jam 4.24 petang ini menyebabkan tren terpaksa dipandu secara manual antara Stesen KL Sentral dan Stesen Pasar Seni.

“Pasukan teknikal telah berada di lokasi dan kerja baik pulih telah selesai pada jam 5.20 petang.

“Gangguan kedua telah berulang antara Stesen Damai dan Stesen Dato’ Keramat pada jam 5.26 petang,” kata kenyataan itu petang ini.

Ketika ini, kata kenyataan itu lagi, kakitangan teknikal sedang giat menjalankan kerja baik pulih dan akan memastikan operasi kembali normal pada kadar segera.

Berikutan itu, bagi mengurangkan kesesakan di stesen, perkhidmatan bas perantara percuma disediakan antara Stesen KLCC, Stesen Ampang Park, Stesen Damai, Stesen Dato’ Keramat, Stesen Jelatek dan Stesen Setiawangsa.

Pengguna dinasihatkan supaya merancang perjalanan masing-masing serta layari media sosial Rapid KL untuk mendapatkan maklumat terkini berkenaan status perkhidmatan terkini. – MalaysiaGazette