Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil berucap pada Majlis Ramah Mesra bersama Media di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 05 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – UMNO menyifatkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November lalu sebagai pilihan raya terburuk dalam sejarah Malaysia.

Ketua Penerangannya, Isham Jalil berkata, ini kerana parti yang menjadi lawan Barisan Nasional (BN) mengamalkan rasuah kepada pengundi, di sebalik mereka menuduh UMNO dan BN yang rasuah dalam kempennya.

“Salah satu punca UMNO dan BN kalah sehingga mendapat 30 kerusi Parlimen pada PRU15 yang lalu kerana parti lawan ini tanam dalam minda rakyat bahawa UMNO dan BN adalah parti rasuah.

“Sebaliknya, video-video yang tular di media sosial dan sampai ke tangan saya, parti mereka yang amalkan rasuah. Mereka rasuah pengundi dan mereka menang.

“Sehingga sekarang, mereka tidak jawab dakwaan ini (rasuah),” katanya pada sesi dialog dalam majlis ramah mesra dan makan tengah hari Ketua Penerangan UMNO di Pusat Dagangan Kuala Lumpur (WTC) di sini, hari ini.

Menurut Isham, akhirnya keputusan yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada malam itu hanya menyaksikan UMNO memang 26 kerusi dan empat kerusi lagi dimenangi MCA serta MIC.

Manakala Pakatan Harapan (PH) menang 82 kerusi dan Perikatan Nasional (PN) memperolehi 74 kerusi.

Kata beliau, banyak kerusi Parlimen yang UMNO dan BN kalah dimenangi PN, bukan PH.

Ditanya kenapa UMNO, BN sebelum ini memutuskan untuk menjadi pembangkang, tetapi bersama PH untuk membentuk Kerajaan Perpaduan, Isham menjawab, sebab PN menolak cadangan Yang di-Pertuan Agong.

“Memang UMNO, BN selepas menerima keputusan rasmi SPR memutuskan untuk menjadi pembangkang. Saya sendiri beberapa hari ulangi supaya parti ini jadi pembangkang.

“Tetapi, kerana Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menolak cadangan Yang di-Pertuan Agong, dan cadangan itu diberikan kepada UMNO, BN, maka kita menerimanya.

“Kita terima kerana mahu negara ini mempunyai kerajaan. Pembentukan sesebuah kerajaan tidak boleh ditangguh lama kerana akan memudaratkan negara,” katanya.

Dalam sesi itu juga beliau menasihatkan Menteri Kerajaan Perpaduan berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan, terutama berkaitan dengan kepentingan rakyat.

Ujar beliau, walau payah sekali pun untuk memberi jawapan kepada permasalahan yang timbul, seseorang menteri harus bijak menjawab, contohnya, jika ayam mahal, jangan makan ayam.

Jawapan seumpama itu akan ditertawakan oleh rakyat dan dijadikan bahan isu oleh pihak lawan untuk memperlekehkan kerajaan berkenaan.

“Solusi kepada jalan penyelesaian ialah berbincang dengan pihak tertentu, cari jalan alternatif bagi merungai masalah berkenaan dan baharulah bersedia untuk memberi kenyataan,” katanya.

Isham bagaimanapun, meminta rakyat memberi peluang kepada Kerajaan Perpaduan untuk mentadbir negara ini dengan baik dan yakin penyelesaian akan tercapai tanpa gangguan mana-mana pihak. – MalaysiaGazette