Penduduk membuat bantahan di Uttarakhand, Haldwani. Foto" Twitter The New Indian.

NEW DELHI – Mahkamah Agung India dijangka memutuskan untuk mengusir ribuan penduduk di negeri utara Uttarakhand dari rumah mereka.

Pegawai kerajaan mendakwa, tindakan itu kerana penduduk telah menceroboh tanah milik Indian Railways.

Mereka tinggal di kawasan kejiranan yang terletak di sepanjang 2km (1.24 batu)  berhampiran stesen kereta api Haldwani Uttarakhand.

Pada Disember lalu, Mahkamah Tinggi Uttarakhand meminta pihak berkuasa membersihkan tanah itu selepas memberi notis seminggu kepada penghuni.

Tetapi penduduk telah membantah dengan  mengatakan mereka tidak mempunyai tempat untuk pergi.

Media tempatan melaporkan, kira-kira 50,000 orang akan kehilangan tempat tinggal jika Mahkamah Tinggi tetap memutuskan keputusan itu.

Pada 20 Disember lalu, panel dua hakim mahkamah tinggi telah meminta pasukan kereta api  untuk menghalau penghuni selepas diberi notis seminggu mulai 1 Januari lalu, lapor akhbar The Indian Express.

Beratus-ratus orang termasuk wanita dan kanak-kanak  telah memprotes selama beberapa hari terhadap perintah itu.

Beberapa penduduk memberitahu akhbar The Times of India bahawa mereka diganggu tanpa sebab dan bertanya bagaimana sekolah dan hospital boleh beroperasi di kawasan itu tanpa kebenaran.

Sementara itu, Ketua Menteri negeri itu mengatakan kerajaannya akan mengikuti apa sahaja yang diputuskan oleh Mahkamah Agung. – Agensi