Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil bercakap kepada media selepas hadir pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTCKL), Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 05 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang bermesyuarat malam ini memutuskan untuk menolak rayuan bekas Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berhubung pengantungan keahlian beliau daripada parti.

Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil yang ditemui sebaik mesyuarat pada pukul 11 malam selesai berkata, penggantungan Tajuddin berkuatkuasa hari ini.

“Ada rayuan daripada Datuk Seri Tajuddin. Rayuan telah ditolak dan penggantungannya berkuatkuasa hari ini.

“Alasan-alasan disiplin seperti yang terkandung dalam UMNO,” katanya.

Tajuddin dipecat daripada jawatan MKT UMNO menerusi surat bertarikh 21 Jun tahun lalu yang ditandatangani Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Pada Oktober lalu, UMNO mengumumkan keahlian Tajuddin digantung selama enam tahun.

Sementara itu mesyuarat yang dipengerusikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memutuskan untuk menggantung UMNO Bahagian Arau.

Isham berkata, seorang Ketua Pentadbir akan dilantik bagi mengetuai UMNO Arau buat sementara waktu.

“UMNO Bahagian Arau digantung atas sebab-sebab disiplin. Nanti akan dilantik ketua pentadbir di UMNO Bahagian Arau,” katanya.

Ketika ditanya sama ada perwakilan UMNO Arau akan hadir pada perhimpunan agung UMNO minggu depan, Isham berkata, pentadbir yang dilantik akan memilih ahli bahagian itu yang akan hadir sebagai pemerhati.

Datuk Seri Shahidan Kassim yang mengetuai UMNO Arau dipecat daripada parti pada November tahun lalu susulan keputusannya bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) bagi mempertahankan kerusi Parlimen Arau pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Isteri beliau, Datuk Seri Shamsiah Yasin yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Arau turut dipecat pada Disember tahun lalu kerana membantu Shahidan berkempen. – MalaysiaGazette