SEOUL – Polis Korea Selatan menahan seorang lelaki warga China yang melarikan diri sementara menunggu kemasukan ke kuarantin selepas diuji positif Covid-19 semasa tiba di Lapangan Terbang Incheon pada Selasa lalu.

Kehilangan lelaki itu mencetuskan kebimbangan terhadap peningkatan jangkitan virus itu selepas China menarik semula dasar sifar-Covid dan bersedia untuk memansuhkan sekatan perjalanan ketika kes di negara itu meningkat secara drastik.

Polis berkata, lelaki berusia 40-an itu ditemui di sebuah hotel di Seoul pada petang ini.

“Dia akan dibawa ke sebuah kemudahan untuk menghabiskan tujuh hari yang ditetapkan dalam kuarantin.

“Kami merancang untuk menyiasat individu itu sebaik sahaja tempoh pengasingan mandatori selesai,” katanya.

Lelaki terbabit boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun atau denda 10 juta won (AS$7,840), jika disabitkan kesalahan kerana melanggar Akta Kawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit, kata pegawai.

Mulai Isnin lalu, Korea Selatan mula mewajibkan pengembara dari China menjalani ujian Polymerase Chain Reaction (PCR) semasa ketibaan, menyertai senarai negara yang semakin meningkat mengenakan sekatan sempadan kerana bimbang terhadap jangkitan berikutan keputusan China menamatkan dasar sifar-Covid.

Seramai 4,113 orang tiba dari China sejak Isnin dan Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea berkata, daripada 917 keputusan ujian menunjukkan 239 orang, atau 26.1 peratus, dijangkiti Covid-19. – Agensi