Kereta Lembu ditunggangi tiga lelaki sedang berlatih menjelang perarakan hari Thaipusam 5 Februari ini. Ihsan IPD Serdang

SERDANG – Polis mendapati kemunculan kereta lembu di Jalan Serdang Perdana, Seri Kembangan, di sini, seperti yang tular di laman media sosial adalah latihan untuk perarakan sambutan Thaipusam.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung perkara itu pada jam 7 malam tadi.

“Siasatan polis terhadap video tular itu mendapati ia membabitkan sebuah kereta lembu yang ditunggang oleh tiga lelaki di Jalan Besar Seri Kembangan.

“Siasatan lanjut mendapati video itu telah dirakam awam pada jam 10 pagi Isnin lalu iaitu bertarikh 2 Januari 2023 dan disiarkan oleh akaun Facebook bernama “Otai Johor dan Majoriti”.

“Menurut pemilik kereta lembu itu, dua ekor lembu itu ditunggangi tiga lelaki yang sedang berlatih untuk perarakan keagamaan Hindu bersempena Thaipusam yang akan disambut pada 5 Februari ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Anbalagan, polis sedang menjalankan siasatan di bawah Seksyen 11 (c) Akta Kesalahan Kecil 1955.

“Pihak polis ingin menasihatkan pengguna jalan raya yang menggunakan sebarang binatang di jalan awam mematuhi undang-undang supaya tidak membahayakan pengguna lain,” ujarnya. – MalaysiaGazette