Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berucap pada Majlis Amanat Tahun Baru 2023 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 06 JANUARI 2023.

PUTRAJAYA – Sebanyak 4,914 kekosongan jawatan tetap dalam Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan ditawarkan tahun ini.

Menterinya Dr Zaliha Mustafa berkata, iklan mula dibuka pada hari ini hingga 21 Januari.

Kekosongan jawatan itu terdiri  daripada 4,263 jawatan untuk pegawai perubatan, 335 pegawai pergigian dan 316 untuk jawatan pegawai farmasi, katanya ketika menyampaikan ucapan di Majlis Amanat Tahun Baharu 2023.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2023 KKM, hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni, Ketua Setiausaha, Datuk Harjeet Singh dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

Untuk rekod, pada tahun lalu KKM mengumumkan 4,53 penambahan perjawatan tetap baharu.

Pada majlis yang sama, Zaliha memberitahu, lebih 30 projek pembangunan fasiliti kesihatan seluruh negara akan bermula tahun ini.

Antaranya Hospital Pendang, Kedah; Hospital Kemaman, Terengganu dan Hospital Beaufort, Sabah.

Dalam masa yang sama katanya, Hospital Tawau, Sabah juga akan dinaik taraf.

“Dengan siapnya projek-projek ini, diharap perkhidmatan kesihatan lebih baik akan dapat diberikan dan memenuhi keperluan penduduk dan pelanggan di kawasan berkenaan,” tambah beliau.

Beliau juga menjangkakan KKM akan menerima peruntukan yang lebih tinggi pada tahun depan.

“Bagi peruntukan tambahan untuk KKM, insya Allah diumum pada pembentangan bajet pada 24 Febuari, kita doakan KKM dapat bajet yang mencukupi untuk kita teruskan usaha-usaha perkhidmatan kesihatan di negara kita.

“Baru-baru ini juga Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberi jaminan bahawa peruntukan untuk kesihatan sekurang-kurangnya dikekalkan walaupun kita harap dapat lebih,” ujar Zaliha. – MalaysiaGazette