PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menjelaskan kesiapsiagaannya mengawal penularan Covid-19 pada Selasa depan.
Persiapan itu dibuat susulan langkah China dan Hong Kong membuka sempadannya pada Ahad ini selepas hampir tiga tahun.
Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, KKM sentiasa memantau kemasukan pelancong ke dalam negara daripada pintu-pintu masuk negara.
”Saya sudah sebut, pintu-pintu masuk kita akan lebih ketat. Kita juga akan bekerjasama dengan semua khususnya di lapangan terbang untuk memastikan pelancong kalau ada penumpang mempunyai gejala cepat-cepat diambil tindakan,” katanya lagi. –
Mengulas lanjut pengumuman siap siaga KKM, Zaliha berkata, media akan diperjelaskan mengenai lonjakan virus tersebut dalam kalangan pelancong luar negara sejak kebelakangan ini.
“Kita akan jemput media pada hari Selasa untuk menerangkan segala perkara yang mungkin (berlaku), salah faham dan tanggapan tentang Covid-19. Masa itu apa juga soalan kita perjelaskan,” katanya kepada media selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2023 KKM.
Turut hadir, Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Ditanya tentang cadangan KKM terhadap pengukuhan protokol Covid-19, Zaliha menambah, sekarang kementerian itu sedang memperkemaskan prosedur seperti yang diminta oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“(Cadangan KKM), saya akan jawab kemudian,” tambah beliau. -MalaysiaGazette