Orang ramai membeli-belah di pasar raya di London, Britain. foto REUTERS/Kevin Coombs

KUALA LUMPUR – Sentimen perbelanjaan pengguna dijangka kekal positif pada 2023, disokong oleh pembukaan semula ekonomi, bantuan kewangan, pasaran pekerjaan yang stabil dan lembaran imbangan isi rumah kumpulan M40 yang baik, menurut cabang penyelidikan Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga).

Dalam nota penyelidikan pada Jumaat, ia menyatakan keyakinan bahawa perbelanjaan pengguna juga akan didorong oleh kembalinya pembeli, penumpang, warga pejabat dan pelancong antarabangsa.

“Bantuan kewangan kepada golongan berpendapatan rendah dan subsidi ke atas bahan api, elektrik dan barang makanan terpilih untuk mengawal kos sara hidup.

“Ia akan membantu mengurangkan tekanan inflasi, sementara itu kami mengunjurkan inflasi kian reda mulai separuh kedua 2023, menjadikan inflasi keseluruhan bagi setahun penuh stabil pada 2.5 peratus berdasarkan unjuran dalaman kami,” tambahnya.

Cabang penyelidikan bank pelaburan itu juga menjangkakan jualan runcit tempatan kekal teguh pada 2023 susulan peningkatan hampir tahun ke tahun pada suku ketiga 2022 menurut Retail Group Malaysia (RGM), yang mengatasi jangkaan kenaikan 50 peratus.

Ia menjangkakan sentimen pengguna kekal positif pada 2023 susulan lonjakan 12.4 mata pada Indeks Sentimen Pengguna (CSI) oleh Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) kepada 98.4 pada suku ketiga 2022, yang berada pada hampir melepasi ambang optimisme 100 mata.

Menurutnya, walaupun prospek ekonomi tempatan dan global tidak menentu, serta tekanan disebabkan oleh inflasi yang tinggi dan kenaikan kadar faedah berterusan, sentimen keseluruhan bertambah baik pada suku ketiga 2022 apabila jangkaan kewangan yang stabil, mengakibatkan peningkatan perbelanjaan.

Justeru, penyelidikan Kenanga mengekalkan saranan ‘overweight’ ke atas sektor pengguna, iaitu jumlah pulangan lebih daripada 10 peratus dengan Aeon Co. (M) Bhd dan Mynews Holdings Bhd sebagai pilihan utama. – BERNAMA