KUALA LUMPUR – Rapid Rail akan melanjutkan perkhidmatan Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bukit Jalil sehingga jam 12.30 tengah malam pada Sabtu ini bagi memudahkan kehadiran penyokong menyaksikan perlawanan akhir Piala AFF.

Bagi kelancaran pergerakan penumpang yang menaiki tren ke stadium, tren tambahan akan disediakan sejurus tamat perlawanan bagi keselesaan dan kelancaran pergerakan penyokong untuk pulang ke destinasi masing-masing.

Kesemua stesen integrasi masih boleh diakses bagi penumpang dari Stesen Bukit Jalil yang ingin meneruskan perjalanan menggunakan tren laluan berbeza ke destinasi yang ingin ditujui.

Sebagai langkah keselamatan, penumpang diwajibkan untuk memakai pelitup muka sepanjang berada di kawasan stesen dan di dalam tren bagi mengekang penularan Covid-19.

Penumpang juga dinasihatkan agar menggunakan Kad Touch ‘n Go serta memastikan baki kad mencukupi sebelum tiba di stesen bagi memudahkan perjalanan pergi dan balik.

Sejumlah 13,892 ruang parkir tersedia di stesen-stesen LRT dan MRT terpilih bagi penumpang yang ingin menggunakan perkhidmatan tren untuk ke stadium.

Penumpang boleh menikmati kadar bayaran tetap parkir (flat rate) sebanyak RM4 apabila menggunakan kad Touch ‘n Go yang sama ketika menaiki perkhidmatan tren.

Pihak Rapid Rail juga akan menempatkan kakitangan tambahan bagi melancarkan pergerakan penumpang keluar masuk di stesen serta kemudahan surau juga disediakan bagi penyokong Muslim menunaikan solat. – MalaysiaGazette