Pusat Pentadbiran Negeri Sabah di Kota Kinabalu, Sabah. foto Arkib Malaysia Gazette

KUALA LUMPUR – Penyerahan kuasa meluluskan projek pembangunan bernilai sehingga RM50 juta kepada pentadbiran Sabah dan Sarawak dilihat sebagai langkah awal Kerajaan Perpaduan untuk jangka masa pendek menuju kepada penyelesaian isu berbangkit dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menurut Presiden Dewan Perniagaan Bumiputera Sabah (DPBS) Datuk Hasnol Ayub, masih banyak lagi perkara yang perlu diteliti oleh kerajaan untuk membuktikan komitmen menyelesaikan isu dalam perjanjian tersebut yang memerlukan penelitian, perbincangan dengan pelbagai pihak, sekali gus pindaan polisi dan enakmen yang berkaitan.

“Ini adalah yang paling mudah dan mampu dan langkah jangka masa pendek yang boleh diberikan kepada Sabah dan Sarawak kerana ia boleh diputuskan hari ini dan dilaksanakan esok. Ini menampakkan komitmen kerajaan untuk MA63.

“Ia seperti langkah pertama sebab ada banyak lagi perlu dilaksanakan dan masih jauh lagi untuk lakukan semuanya namun ini perkara yang baik,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang media hari ini berkata, langkah itu dibuat bagi memastikan keputusan segera dapat dibuat tanpa perlu kata putus peringkat Persekutuan.

Beliau berkata, kelulusan oleh pentadbiran di kedua-dua wilayah itu perlu mematuhi peraturan kewangan sedia ada.

Anwar berkata, keputusan ini juga selaras perjanjian MA63 itu bagi memastikan projek yang tertangguh kerana keputusan berkaitan perlu dibuat oleh agensi Persekutuan, dapat dilaksanakan dengan segera.

Selain kebenaran pelaksanaan projek, kerajaan turut memutuskan untuk meneruskan dan mengerakan pelaksanaan Projek Sarawak – Sabah Link Road (SSLR), Lebuhraya Trans Borneo serta melengkapkan Projek Pan Borneo Sabah demi kepentingan pemabngunan dan kesejahteraan rakyat.

Mengulas lanjut, Hasnol menyifatkan usaha ini selari dengan sumbangan kedua-dua negeri tersebut terhadap pendapatan negara.

“Ini langkah perkasa kuasa kerajaan negeri Sabah dan Sarawak kerana negeri ini boleh menyumbang pendapatan kepada negara sekaligus digunakan untuk perkongsian pembangunan di negeri-negeri lain.

“Contohnya bila Petronas gali minyak di Sabah semua keuntungan digunakan untuk seluruh negara. Keuntungannya membolehkan pembangunan seperti di Perlis, Kedah dan Terengganu, maksudnya ini memberi kebaikan juga kepada negeri lain.

”Sebab itu, Kerajaan Persekutuan mesti maksimumkan pengukuhkan kuasa untuk negeri-negeri sebab setiap negeri menjadi penyumbang kepada pendapatan negara,” tambahnya.- MalaysiaGazette