TEHRAN – Dua lelaki dihukum gantung kerana didakwa membunuh seorang anggota tentera semasa menyertai protes besar-besaran di Iran
Mohammad Mahdi Karami dan Seyed Mohammad Hosseini didapati bersalah atas dakwaan “rasuah di bumi” selepas didapati terlibat dengan kematian seorang pegawai separa tentera.
Kumpulan hak asasi manusia mengecam pelaksanaan hukuman itu yang disifatkan sebagai perbicaraan “palsu”.
Keluarga Karami yang berusia 22 tahun berkata, mereka tidak dibenarkan menemuinya sebelum dia dibunuh.
Pendakwa raya mendakwa, pegawai separa tentera Ruhollah Ajamian telah dibogelkan dan dibunuh.
Protes besar-besaran di seluruh negara tercetus selepas kematian seorang gadis dalam tahanan selepas ditangkap oleh polis kerana didakwa tidak memakai tudung dengan sempurna.
Sekurang-kurangnya 516 penunjuk perasaan telah terbunuh setakat ini, termasuk 70 kanak-kanak, dan 19,262 yang lain ditangkap, menurut Agensi Berita Aktivis Hak Asasi Manusia (HRANA) yang berpangkalan di luar negara.
Ia juga telah melaporkan kematian 68 anggota keselamatan.
Peguam yang mewakili Hosseini mendakwa, lelaki itu telah dipukul dan ditutup matanya semasa di penjara.
“Dia dicakar dan dipukul pada tapak kakinya dengan batang besi,” kata Ali Sharifzadeh Ardakani.
Mahkamah Agung Iran mengekalkan hukuman itu pada 3 Januari.
Sebelum kematiannya, peguam Karami berkata, anak guamnya mogok lapar kerana permintaannya untuk memilih peguamnya sendiri telah ditolak.
Sebaliknya dia bergantung kepada peguam yang dilantik kerajaan.
Tiga lelaki lain telah dijatuhi hukuman mati dalam kes yang sama, dan 11 lagi menerima hukuman penjara.
Penggantungan terbaharu menjadikan bilangan orang yang dihukum bunuh di Iran sejak Disember meningkat kepada empat orang.
Pada Disember, Majidreza Rahnavard yang berusia 23 tahun digantung secara terbuka di atas kren kerana didakwa membunuh dua anggota pasukan keselamatan dengan pisau dan mencederakan empat yang lain dan seorang lagi berusia 23 tahun, Mohsen Shekari, dibunuh kerana didakwa menghalang jalan dan mencederakan seorang anggota pasukan Basij Iran dengan pisau. – Agensi