Bung Moktar Radin

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Bung Moktar Radin, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO hari ini didesak supaya melepaskan jawatan itu dengan segera.

Gesaan itu dibuat oleh lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional Sabah  iaitu ADUN Tanjung Keramat, Datuk Shahelmey Yahya; Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit); Datuk James Ratib (Adun Sugut); Datuk Dr Yusuf Yacob (Sindumin) dan Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk).

Dalam kenyataan bersama, mereka mengecam tindakan Bung Moktar yang berusaha menjatuhkan Kerajaan Negeri Sabah yang sah.

Malah, mereka menyifatkan Bung Moktar telah mencemarkan nama baik parti selepas bertindak menarik sokongan daripada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan menamatkan kerjasama yang terjalin selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 2020.

“Kami telah dikejutkan oleh tindakan beberapa pihak tertentu khususnya Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah yang telah berusaha menjatuhkan kerajaan negeri Sabahyangsah.

”Sesungguhnya kami mengecam sekeras-kerasnya tindakan tersebut dan dengan ini kami mendesak agar beliau meletakkan jawatannya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah dengan serta-merta kerana tindakan tersebut mencemarkan nama baik parti,” kata lima ADUN berkenaan menerusi satu kenyataan.

Mereka turut menyatakan sokongan penuh terhadap Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah.

Dalam masa yang sama, kelima-lima ADUN itu menegaskan, pendirian mereka adalah senada dengan rakyat negeri berkenaan yang inginkan kestabilan politik Sabah.

“Sepertimana juga aspirasi rakyat Sabah, kami mahukan kestabilan politik yang telah wujud selama ini dikekalkan dan menolak sebarang percubaan atau tindakan oleh mana-mana pihak yang ingin menimbulkan kekacauan dan keresahan rakyat,” tambah beliau.

Semalam Bung yang juga Pengerusi BN Sabah mengumumkan parti itu menamatkan kerjasama yang telah terbentuk selepas pilihan raya negeri itu.

Keputusan berkenaan dibuat berikutan pemecatan Pengarah Pilihan Raya negeri berkenaan, Datuk Seri Salleh Said Keruak sebagai Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad.

Hajiji juga didakwa mengugut untuk melakukan rombakan Kabinet negeri.-MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Aikkk…selepas PRU ke-13, berbondong2 pemimpin UMNO Sabah lompat parti jd katak…masa tu cuma DD Bung Mokhtar saja yg setia…dia yg bangunkan balik UMNO dan BN Sabah…dia yg pungut anda semua dari nobody! Skrg anda nak dia plak letak jawatan? Sepatutnya kamu berlima yg letak jawatan dan bertanding tiket GRS. Bukannya bertanding tiket UMNO BN…Bodoh punya manusia

Comments are closed.