PETALING JAYA – Setakat hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim belum menerima sebarang jemputan untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 yang akan diadakan pada 11 Januari ini.
Perkara itu disahkan sendiri Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), justeru beliau enggan membuat sebarang andaian mengenai kehadirannya pada acara tahunan UMNO itu.
“Saya dijemput ke? Dalam politik, atau kehidupan dia tak boleh seandainya kita dijemput.
“Sekarang ini, belum ada jemputan, jadi tak payah kita buat apa-apa perkembangan
“Lagipun ini soal UMNO, saya Keadilan,” katanya kepada pemberita di pekarangan Ibu Pejabat PKR, di sini, hari ini.
Terdahulu Anwar yang juga Presiden PKR itu mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PH hampir satu jam setengah yang berakhir kira-kira jam 5.30 petang tadi.
Sebelum ini Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO bersetuju untuk menangguhkan pelaksanaan PAU saya 2022 yang dijadualkan berlangsung hujung Disember ini kepada awal tahun ini.
Menurut Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, PAU 2022 akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di Kuala Lumpur pada 11 hingga 14 Januari 2023.
Turut dijadualkan berlangsung dalam PAU 2022 adalah Perhimpunan Agung Khas pada Jumaat depan selepas ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk meminda dua usul Perlembagaan parti. – MalaysiaGazette