Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong .Foto MOHD ADZLAN, 15 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Gara-gara memaki hamun rakan serumah yang lewat menghantarnya ke tempat kerja, seorang operator kilang menerima ugutan sekumpulan individu yang bersenjatakan besi dan nyaris dibelasah.

Kejadian dilaporkan berlaku di Jalan Batu Nilam 13, Bandar Bukit Tinggi 1, Klang di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kejadian berlaku pada jam lebih kurang 1.30 pagi ketika mangsa berada dalam bilik sewanya.

“Tiba-tiba mangsa telah didatangi oleh lima lelaki yang bertindak membuka pintu billik dengan agresif manakala salah seorang suspek dilihat membawa sebatang besi dan cuba untuk memukul mangsa.

“Bagaimanapun, mangsa menolak suspek keluar dari bilik dan mengunci pintu bilik dengan segera sebelum menghubungi pihak polis untuk mendapatkan bantuan,” kata beliau dalam kenyataan malam ini.

Bertindak atas laporan polis mangsa, sepasukan polis dari Cawangan Kereta Peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan telah membuat serbuan di rumah sewa mangsa pada jam lebih kurang 1.35 pagi.

Hasil serbuan itu, polis berjaya memberkas dua lelaki warga tempatan berusia 23 dan 26 tahun yang disyaki terlibat dalam ugutan jenayah itu.

“Namun, tiga lagi rakan suspek yang turut terlibat jenayah itu berjaya melarikan diri dari lokasi kejadian,” katanya.

Siasatan awal polis mendapati punca kejadian disebabkan suspek tidak berpuas hati setelah mangsa telah mengeluarkan perkataan kurang sopan kerana lambat untuk menghantarnya ke tempat kerja sebelum hari kejadian.

Suspek merupakan pemandu van kilang yang ditugaskan untuk mengambil dan menghantar pekerja kilang termasuk mangsa.

Semakan rekod mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan jenayah lampau,

“Kedua-dua suspek berkenaan kini direman empat hari bagi membantu siasatan lanjut polis manakala baki rakan suspek yang berjaya melarikan diri sedang diburu.

“Dalam tangkapan itu, polis juga berjaya merampas sebatang besi yang digunakan suspek semasa kejadian dan kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” ujarnya. – MalaysiaGazette