KUALA LUMPUR – Siaran langsung perlawanan Separuh Akhir Pertama Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 antara Harimau Malaya dengan Thailand malam ini akan disiarkan di layar gergasi Dataran Merdeka.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, inisiatif berkenaan khas bagi rakyat Malaysia yang terlepas membeli tiket perlawanan berkenaan.

“Anda mungkin antara yang terlepas tiket perlawanan separuh akhir perlawanan antara Harimau Malaya dan Gajah Perang malam ini. Tak mengapa…DBKL akan bawakan siaran langsung perlawanan ini di layar gergasi @ Dataran Merdeka.

“Ayuh Malaysia…turun dan bagi sokongan jitu dan padu anda kepada Harimau Malaya di Dataran Merdeka…jika Stadium Nasional Bukit Jalil (SBNJ) telah penuh…kita penuhkan Dataran Merdeka… AYUH ekor harimau,” tulis DBKL menerusi Facebook.

Malam ini bakal berlangsung perlawanan di bola sepak di antara Harimau Malaya dengan Thailand.

Skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan Gon mara ke peringkat separuh akhir Piala AFF 2022 selepas menundukkan Singapura 4-1 pada aksi terakhir kumpulan B Selasa lepas.

Semua 59,000 tiket untuk aksi separuh akhir perlawanan berkenaan telah habis terjual. – MalaysiaGazette