Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi bercakap pada disang media mengenai kes letupan menyebabkan kematian tukang masak di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 07 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Polis mendapatkan bantuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk memperolehi maklumat tentang identiti mayat dalam keadaan kaki dan tangannya terikat yang ditemui di di tepi Jalan Bestari Jaya-Rawang, Selangor pada 30 Disember lalu.

Pemangku Ketua Polis Selangor, Deputi Komisioner Datuk Sasikala Devi Subramaniam berkata, pihaknya tidak menemui butiran identiti selepas cap jari mangsa disemak dengan Jabatan Pendaftaran Negara.

“Kes penemuan mayat lelaki di tepi jalan dengan kesan kecederaan masih disiasat polis untuk mengenal pasti identitinya.

“Pemeriksaan forensik pada anggota badan mangsa juga tidak menemui kesan suntikan BCG. Maka kita mengesyaki mangsa seorang lelaki warga asing,” katanya pada sidang media, hari ini.

Menurut Sasikala Devi, polis masih menunggu punca kematian mangsa disyaki dipukul dengan objek tumpul di kepala.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut diminta menyalurkan maklumat dengan menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Kolanthaivelu Raman di talian 03-61262222/019-2579232 atau pergi ke balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette