Bendera China

ANKARA – China membuka semula sempadannya pada Ahad selepas tiga tahun sekatan yang dilaksanakan berikutan pandemik COVID-19.

Pada 26 Dis Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China mengumumkan tahap COVID-19 diturunkan daripada Kelas A kepada Kelas B.

COVID-19 telah ditukar daripada “pneumonia novel coronavirus” kepada “novel coronavirus infection,” lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan suruhanjaya kesihatan itu.

Selain itu, China tidak akan mengenakan kuarantin ke atas mereka yang memasuki negara itu dan pesakit COVID-19 selain menarik balik dasar ketat “sifar-COVID-19”.

Bagaimanapun, negara itu menghadapi peningkatan kes COVID-19 sejak beberapa minggu lalu.

Beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Itali, Sepanyol, Perancis, Maghribi, Qatar, Kanada, Greece, Malaysia, Finland dan Belanda telah mengumumkan mengenai keperluan keputusan ujian negatif COVID-19 kepada mereka yang tiba dari China.

Sementara itu, Jerman pada Sabtu menasihatkan rakyatnya tidak melakukan perjalanan yang tidak penting ke China dan mengklasifikasikan negara itu sebagai “kawasan ancaman varian virus” disebabkan gelombang COVID-19 yang sedang melanda di China.

China pada Jumaat menyatakan bahawa situasi COVID-19 di negara itu terkawal dan banyak negara anggota EU mengalu-alukan pelancong China.

Mengulas mengenai pertauran yang dikenakan sesetengah negara terhadap pelancong yang datang dari China, jurucakap Kementerian Luar Mao Ning berkata semua langkah tindak balas terhadap COVID-19 harus berdasarkan sains dan fakta serta setara.

“Seharusnya tidak ada percubaan untuk mempolitikkan isu itu atau mengamalkan amalan diskriminasi yang boleh menjejaskan hubungan antara rakyat,” kata Mao kepada pemberita.

Beliau berkata pakar China turut menghadiri taklimat dalam talian Pertubuhan Kesihatan Sedunia untuk memberikan maklumat terkini mengenai pandemik itu.- BERNAMA