Teo Nie Ching ketika melawat konti Johor FM dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) di RTM Johor hari ini.

JOHOR BAHRU – Pihak Institusi Pengajian Tinggi (IPT), sama ada Awam atau Swasta diminta untuk melaporkan kepada Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) sekiranya capaian liputan internet di kawasan kampus mereka kurang atau tiada.

Timbalan menterinya, Teo Nie Ching berkata, untuk menangani masalah itu, pihaknya akan mengadakan masyuarat bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Selain itu, pihaknya akan bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi (telco) untuk memastikan IPT di negara ini mempunyai perkhidmatan rangkaian yang paling baik.

“Kalau mana-mana mahasiswa atau mahasiswi yang datag dari mana-mana universiti yang menghadapi isu tersebut, saya mengalu-alukan pihak universiti untuk berhubung dengan kami, supaya kami boleh adakan masyuarat SKMM akan bekerjasama dengan syarikat telco untuk pastikan kampus-kampus IPT kita mempunyai perkhidmatan rangkaian yang paling bagus untuk mahasiswa.

“Kita selalu cakap perkhidmatan rangkaian adalah satu keperluan asas, satu utiliti yang diperlukan oleh lapisan masyarakat khasnya untuk mahasiswa kita, SKMM dan KKD kami akan bekerjasama dgn syarikat telco untuk pastikan kampus IPT ini mempunyai perkhidmatan rangkaian paling bagus dan sesuai. Kami akan usahakan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat konti Johor fm dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) di RTM Johor di sini hari ini.

Semalam, Eksekutif Umum Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) 2022, Muhammad Noraiman Zulkifli memaklumkan masalah capaian Internet di IPT masih tiada jalan penyelesaian walaupun banyak pihak mendakwa kemudahan itu semakin baik.

Beliau juga meminta kerajaan diminta menyediakan peruntukan sewajarnya bagi menaik taraf rangkaian wi-fi di semua IPT kerana ia adalah asas untuk semua aspek pembelajaran dan pengajaran (PdP).- MalaysiaGazette