Tambang bas sekolah akan dinaikkan mulai sesi persekolahan Mac nanti.

PETALING JAYA – Agensi Pengangkutan Awam Darat atau APAD dilaporkan telah memberi lampu hijau kepada pengusaha bas sekolah untuk menaikkan tambang mulai sesi persekolahan baharu.

Presiden Persekutuan Persatuan Bas Sekolah Malaysia, Amali Munif Rahmat berkata, mulai Mac 2023, tambang bas sekolah mungkin dinaikkan antara RM5 hingga RM10.

Beliau berkata kepada Sinchew Daily, keputusan menaikkan harga dan juga kadar kenaikannya adalah bergantung kepada pengusaha individu dan juga perbincangan mereka dengan ibu bapa.

Amali berkata, APAD menyatakan pendirian untuk tidak membantah jika kenaikan yang berlaku tidak keterlaluan dan ibu bapa juga bersetuju.

Menurutnya, kebanyakan ibu bapa tidak membantah kadar kenaikan yang munasabah kerana mereka juga memahami kos sara hidup yang semakin meningkat.

Tambahnya, kadar tambang semasa bergantung kepada lokasi kerana di kawasan Petaling Jaya di Selangor sahaja mempunyai empat kadar berlainan.

“Di Damansara Heights, kadarnya adalah sekitar RM150 seorang tetapi di Kampung Sungai Ayu Ara, kadarnya adalah RM80 hingga RM120 seorang,” katanya.

Menurutnya, kos yang ditanggung pengusaha bas sekolah semakin tinggi kerana bukan sahaja alat ganti menjadi lebih mahal, malahan pengusaha juga perlu menaikkan gaji pemandu.

“Jika tambang setiap murid dinaikkan RM10 dan diandaikan terdapat 100 murid, tambahan hasil sebanyak RM1,000 dijangkakan dapat menampung peningkatan kos yang berlaku.

“Pengusaha belum menaikkan tambang pada masa ini kerana masih berada dalam tahun persekolahan 2022, tetapi ia akan diselaraskan apabila memasuki tahun persekolahan 2023 pada Mac nanti,” katanya. – MalaysiaGazette