MELAKA – Penat membaiki pendingin hawa sehingga terpaksa bermalam di rumah janda anak dua.
Itu alasan diberikan seorang penjawat awam apabila dicekup berkhalwat di rumah kekasihnya oleh pegawai syarak di Tanjung Minyak, di sini, jam 11.45 malam Sabtu lalu.
Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Che Sukri Che Mat berkata, pasangan berusia lingkungan 30-an itu diserbu JAIM yang melakukan Operasi Perahu Darat 2 (Opeda 2) selepas mendapat maklumat awam.
“Sebaik tiba di lokasi, pintu rumah didapati bertutup rapat serta berkunci sebelum dibuka oleh seorang lelaki.
“Pemeriksaan lanjut turut menemui seorang wanita di dalam bilik bersama seorang kanak-kanak berusia 10 tahun dan hasil soal siasat, pasangan itu kedua-duanya penjawat awam mengaku bukan suami isteri.
“Lelaki berstatus suami orang mempunyai lima anak itu turut mengaku datang dari Negeri Sembilan dan terpaksa bermalam di situ kerana penat membaiki pendingin hawa di rumah janda itu yang rosak,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Tambahnya, pasangan itu juga mendakwa telah berkenalan melalui aplikasi sosial Omi sejak lebih setahun lalu.
“Kedua-dua mereka kemudian ditahan dan dibawa ke Balai Polis Tanjung Minyak sebelum tangkapan dibuat semula oleh JAIM bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekediaman,” katanya.
Tambahnya, dalam operasi Opeda 2, JAIM turut menahan pasangan kekasih muda berusia 20-an ketika sedang duduk berdua-duaan di dalam kereta sambil memeluk bahu di kawasan persisiran jalan di Pantai Marina, Kota Laksamana.
Pasangan itu disiasat mengikut Seksyen 71 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana melakukan perbuatan tidak sopan di tempat awam. – MalaysiaGazette