KUANTAN – Poligami akan menjadi indah andai kita tahu menghargai, menghormati antara satu sama lain, kata Muhammad Faiz Hashim.
Ikon Poligami Harmoni menegaskan, bukan semua kehidupan poligami berakhir dengan duka tetapi boleh jadi sebaliknya jika si suami benar-benar menghayati ujian beristeri lebih daripada seorang.
Faiz, 42, yang mengulas isu kemelut rumah tangga pengarah sensasi Syamsul Yusof, Puteri sarah Liyana dan Ira Kazar mendoakan mereka tabah menghadapi ujian berpoligami.
“Kehidupan poligami tidak semuanya teruk. Semailah sifat kasih sayang dan saling melengkapi antara satu sama lain. Semua di dunia ini bersifat pinjaman semata mata, cinta pada Allah jua yang kekal selamanya.
”Perkahwinan itu amanah Allah. Perkahwinan itu juga adalah punca rezeki kita. Jaga sebaik-baiknya berkat dunia akhirat.
“Semoga Syamsul, Puteri Sarah dan Ira Kazar tabah menghadapi ujian Allah di dunia ini. Jangan ditanya kenapa perlu lalui ujian hidup sebegini, kerana kamu semua adalah insan-insan hebat yang dipilih Allah untuk melalui kehidupan ini,” katanya.
Menerusi laman Facebook miliknya, beliau memuat naik video berdurasi 4 minit 6 saat menunjukkan kejutan sambutan hari lahir beliau bersama kedua-dua isteri telah mendapat lebih 34,000 tontonan.
Berkongsikan pengalaman kepada wartawan MalaysiaGazette, Faiz berkahwin dengan isteri pertama, Syarifah Nor Fadhilah Binti Syed Mohd Idris, 42 tahun pada tahun 2001.
Kemudian bernikah dengan isteri kedua, Nik Noor Syuhada Kamarudin, 37 Tahun pada tahun 2008 dan telah mengharungi kehidupan keluarga besar dalam poligami yang kini memasuki usia 15 tahun.
Beliau bahagia hidup bersama kedua-dua isterinya dan kini mempunyai 11 cahaya mata, lapan lelaki dan tiga perempuan hasil daripada kedua-dua perkahwinannya.
“Belajarlah untuk redha dengan segala ketentuan. Pasti hidayah Allah ketenangan milik kamu semua. Semoga dipermudahkan. Amin Ya Allah,” katanya.- MalaysiaGazette